Gabung prinsip, strategi ketika berdakwah

Share

utusan-rasmi

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Umat Islam diseru bersama-sama berusaha menggabungkan antara prinsip dan strategi dalam setiap dakwah demi mengembangkan syiar Islam yang benar berdasarkan ajaran al-Quran dan Sunnah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para pendakwah terutama ilmuan agama harus berpegang teguh dengan prinsip itu dan lebih perkasa dalam menangani setiap cabaran ketika mahu berdakwah.

"Seperti mana kita tahu, para ilmuan Islam berkewajipan memastikan dakwah berada di atas landasan prinsip yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah," titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Sunnah 2014 anjuran Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia di sini hari ini.

Yang turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Khalil Akashah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Raja Muda Perlis bertitah, persoalan prinsip banyak terletak di bahu golongan pendakwah sementara strategi pula membabitkan pendekatan dakwah termasuk cara memanfaatkan profesionalisme dalam pelbagai bidang, penggunaan teknologi moden dan mengenal pasti ruang baharu untuk diterokai.

Titah baginda, ini juga termasuk soal pembangunan ekonomi umat Islam yang memerlukan gabungan kepakaran dalam pelbagai bidang.

Baginda bertitah, bukan mudah untuk mengajak umat Islam untuk kembali kepada pegangan dan amalan Islam yang sebenar, khususnya pada saat di mana pelbagai pemikiran, tokok tambah, amalan khurafat dan kepercayaan asing yang seringkali dikaitkan dengan agama itu sehingga orang Islam sendiri keliru.

"Lantaran itu, ini merupakan cabaran besar kepada kita terutamanya para aktivis yang berusaha mengajak umat Islam supaya kembali kepada ajaran Islam yang sejati," titah baginda.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140216/dn_20/Gabung-prinsip-strategi-ketika-berdakwah#ixzz2toZEkQ00 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

Hari Ini: 13 | Jumlah Pelawat: 69577