Kaedah-Kaedah Mengenal Hadith Palsu

Share

Oleh: al-Ustaz Abu Umaimah Mohd Arif bin Nazri

Ulama-ulama hadith memang terkenal dengan usaha-usaha agung mereka dalam memelihara hadith-hadith Rasulullah SAW daripada dicemari oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Di antara usaha-usaha murni mereka ialah memgenal pasti hadith-hadith palsu serta mengadakan kaedah-kaedah am atau garis panduan untuk mengenali hadith-hadith tersebut.

Menurut Syeikh Umar bin Hasan Uthman Fallatah dalam tesis Phd beliau yang bertajuk الوضع في الحديث , sebahagian kaedah-kaedah tersebut ada yang bersifat umum berkenaan sifat-sifat kepalsuan hadith dan ada yang lebih bersifat terperinci. Ini semua hasil daripada penelitian yang berterusan dan istiqra’ yang menyeluruh terhadap sanad-sanad hadith berserta matan-matanya yang akhirnya membolehkan untuk mereka merumuskan perkara tersebut.

Antara kaedah-kaedah atau tanda-tanda khusus tersebut adalah:

1. Setiap hadith yang menyebutkan (pada teksnya) iman itu bertambah atau berkurang, atau sebaliknya tidak bertambah dan tidak berkurang, maka matan-matan sedemikian adalah palsu atau maudhu’

2. Setiap hadith yang menyebutkan bahawa al-Quran itu makhluk, atau bukan makhluk, begitu juga mana-mana hadith yang menyatakan ancaman terhadap orang yang berkata sedemikian ( makhluk atau tidaknya al-Quran) kesemuanya adalah palsu.

3. Kesemua hadith yang mengisbatkan disyariatkan untuk mengelap anggota wudhu selepas berwudhu juga tidak ada yang sahih.

4. Hadith yang menetapkan tempoh minimum bagi haidh begitu juga tempoh maksimum.

5. Setiap hadith yang menyebut; barangsiapa berbuat amalan tertentu mendapat pahala seorang Nabi atau lebih. Maka kesemuanya adalah palsu.

6. Mana-mana hadith yang menyatakan adanya solat-solat sunat pada malam-malam tertentu atau pada siangnya, seperti solat malam Ahad atau Isnin atau pada setiap hari daripada seminggu. Tidak ada satu pun yang sahih dari Nabi.

7. Hadith solat Ragha’ib الرغائب (solat sunat pada malam pertama bulan Rajab)

8. Hadith solat khas malam Nisfu Sya’ban.

9. Hadith solat sunat hari Asyura’ عاشوراء begitu juga galakan untuk melakukan perkara-perkara lain seperti bercelak, berhias, mengadakan kenduri. Kesemuanya tidak thabit dari Nabi melainkan hadith-hadith berkenaan puasa pada siangnya.

10. Hadith-hadith berkenaan puasa pada bulan Rajab dan solat pada sebahagian malamnya.

11. Hadith-hadith yang melarang atau tidak menggalakan pernikahan sebaliknya menggalakan hidup berseorangan العزوبة.

12. Hadith-hadith yang menggalakan untuk menyimpan perempuan, dengan anggapan bahawa perempuan sedemikian memiliki rahim-rahim yang diberkati.

13. Hadith-hadith yang mencela zuriat dan galakan untuk tidak beranak yang kononnya Allah tidak lagi berhajat kepada mana-mana anak yang dilahirkan selepas seratus tahun dari kewafatan nabi.

14. Hadith-hadith yang menyebutkan akan Khidr dan pertemuanya dengan Rasulullah, Ilyas dan Jibril pada setiap tahun di Arafah.

15. Hadith yang mengisbatkan bahawa nabi menta’yinkan (menyatakan dengan menyebut nama seseorang) sebagai khalifah selepasnya.

16. Mana-mana hadith yang ada disebutkan lafaz Ya Humaira’ يا حميراء atau al-Humaira’ الحميراء

17. Hadith-hadith manaqib Muawiyah معاوية atau keburukanya secara langsung atau yang mencela Amru ibnu ‘Ash.عمرو بن العاص

18. Hadith-hadith yang mencela Abu Musa al-‘Asyari أبو موسى الأشعري .

19. Hadith-hadith yang mencela Marwan bin al-Hakam atau al-Walid bin Abdul Malik.

20. Hadith-hadith yang menaskan khilafah untuk anak al-‘Abbas atau yang mengharamkan mereka daripada neraka, juga yang memuji ahli Khurasan yang keluar bersama Abdullah bin Ali bin al-Abbas atau mana khulafa Bani Abbas atau yang memuji al-Mansur, al-Saffah atau al-Rasyid.

21. Hadith-hadith yang menyebutkan manaqib مناقب (kebaikan) imam-imam mazhab yang empat dengan nama-nama mereka begitu juga yang mencelanya.

22. Setiap hadith yang memuji Baghdad (بغداد) Basrah (بصرة) Kufah(الكوفة) Marwu (مرو) Asqalan (عسقلان) Iskandariah (الاسكندارية) Antakiah (الأنطاقية) atau mencelanya. Begitu juga yang menyebutkan pada permulaanya ‘bandar ini Bandar syurga atau bandar itu Bandar neraka.

23. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan al-Khalil الخليل (Palestin) begitu juga as-Sakhrah (الصخرة) .

24. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan setiap surah al-Quran satu persatu,

25. Hadith-hadith yang mencela Habasyah, Sudan, Turki, Mamalik, dan Khasiyan.

26. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan ayam jantan dan galakan untuk membelanya, tidak ada hadith yang thabit berkenaan tersebut melainkan dua hadith, Pertama: “janganlah kamu mencela ayam jantan kerana ia mengejutkan kamu untuk solah” (H.R Abu Dawud dalam bab hadith-hadith berkenaan ayam jantan dan binatang-binatang ternak). Kedua: “Apabila kamu mendengar kokokan ayam maka mintalah kepada Allah akan kelebihan-kelebihanya kerana ia telah melihat malaikat…” (H.R Ahmad dan lain-lain). Kedua-duanya adalah sahih. Begitu juga hadith-hadith berkenaan membela merpati dan ayam betina.

27. Hadith-hadith yang memuji kacang Dal, beras, Baqilla’ الباقلاء ( sejenis tumbuhan rumpai) terung, delima, kismis, tembikai, Kurrath الكراث dan Hindia’ الهندباء ( kedua-duanya sejenis tumbuhan), lobak, dan keju.

28. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan beberapa jenis bunga seperti Nirjisiah, Ward (ros), al-Ban, dan Marzinjusy.

29. Hadith-hadith yang memuji inai dan kelebihannya, melainkan hadith riwayat Abu Daud: sebaik-baik yang kamu gunakan untuk mengubah putih uban ialah Hinna’ الحناء dan Katam الكتم( jenis dedaun seperti inai)

30. Hadith-hadith yang menyebut rupa paras yang cantik dan memujinya dan menggalakan memandang kearahnya serta meminta bantuan darinya, begitu juga yang menyatakan bahawa neraka tidak akan menyentuhnya.

31. Hadith-hadith yang melarang tabarrum تبرم (menyebut secara marah dan putus asa) tatkala menunaikan hajat manusia.

32. Kesemua hadith yang melarang dari mencela Baraghithالبراغيث ( sejenis binatang kecil seperti pepijat)

33. Hadith yang menyatakan sesiapa yang diberikan sesuatu hadiah maka orang yang ada bersamanya sama-sama ada hak terhadap hadiah tersebut.

34. Hadith yang menggalakan untuk memakai cincin daripada batu Aqiq.

35. Hadith-hadith yang menyatakan keharusan atau pengharaman bermain catur.

36. Hadith-hadith yang menyebutkan jenis-jenis wali seperti yang masyhur dalam dunia kesufian seperti al-Abdal الأبدال, al-Aqthab الأقطاب, al-aghwat الأغواث, al-Nuqaba’النقباء, al-Nujabaالنجباء, dan al-Awtadالأوتاد

37. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan aqal.

38. Hadith-hadith yang menyebutkan طنين الأذنان bunyi-bunyian dengungan telinga.

39. Setiap hadith yang menyebut tarikh-tarikh tertentu di masa akan datang atau yang menyebutkan pada tahun sekian berlakunya sekian atau yang seumpama denganya.

Inilah di antara ciri-ciri khusus terhadap hadith palsu. Maka apabila terdapat mana-mana hadith yang mengandungi lafaz lafaz sebagaimana yang disebutkan maka dikhuatiri ianya adalah hadith yang palsu. Tidak dinafikan ada di antara perkara-perkara yang disebutkan itu benar dari sudut fakta dan hakikatnya tetapi yang menjadi kesalahannya disini ialah menyandarkanya kepada Rasulullah S.A.W, beliau sendiri telah memberi amaran keras berkenaan ini dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya

إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atasku tidaklah sama seperti berdusta keatas orang lain, maka sesiapa yang telah berdusta keatas ku secara sengaja maka siapkanlah tempat duduknya di dalam neraka.” ( H.R al-Bukhari: 1291, Muslim)

Hari Ini: 13 | Jumlah Pelawat: 69577