Isu Fadak: 10 Jawapan Kepada Syiah

Share

Abu Umair

Saya diminta oleh seorang pengunjung blog supaya mengulas atau menjawab satu isu yang dimainkan oleh Syiah, iaitu isu Fadak. Pada mulanya, saya keberatan untuk menulis artikel seumpama ini kerana dua alasan:

1- Secara peribadi, saya kurang gemar menulis artikel berbentuk radd atau membalas hujah pihak lain. Kecuali jika ada keperluan mendesak dan sudut positifnya lebih besar daripada sudut negatif.

2- Perdebatan dengan Syiah selalunya tidak membawa banyak faedah. Bagaimana kita boleh berdebat dengan mereka dalam perkara seperti ini, padahal antara Ahli Sunnah dan Syiah terdapat jurang yang amat luas dalam masalah usul dan aqidah. Bacalah pengakuan seorang tokoh Syiah, Nikmatullah al-Jazairi: 
“Kita (Syiah) tidak bersama-sama dengan mereka (Ahli Sunnah) dalam persoalan Tuhan, Nabi dan Imam. Kerana mereka (Ahli Sunnah) berkata bahawa Tuhan mereka ialah Tuhan yang mana Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah nabiNya, dan Abu Bakar ialah khalifahnya. Sedangkan kita tidak mengatakan Tuhan yang demikian, dan Nabi yang demikian. Bahkan kita mengatakan bahawa Tuhan yang mana khalifah nabiNya ialah Abu Bakar BUKAN Tuhan kami, dan Nabi tersebut BUKAN Nabi kami”. (Al-Anwar al-Nukmaniyyah 2/278).

Bagaimana kita boleh berdebat dengan mereka, sedangkan mereka tidak beriman dengan Tuhan yang kita sembah, dan Nabi yang kita ikuti? Apatah lagi dalam perkara-perkara yang lebih kecil seperti Al-Quran, Khilafah, Imamah, dan seterusnya.

APAKAH ISU FADAK?

Isu Fadak merujuk kepada kes tuntutan Fatimah r.a. daripada Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq r.a. terhadap tanah Fadak. Fadak termasuk dalam harta fai’ kerana ia dibuka tanpa melalui peperangan. Ia menjadi milik Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, dan ketika hayatnya baginda membelanjakan hasil Fadak kepada kaum Muslimin yang memerlukan.

Abu Bakar al-Siddiq tidak memenuhi tuntutan pusaka oleh Fatimah, dengan alasan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidak boleh dipusakai. Harta miliknya akan menjadi sedekah selepas wafatnya.

Untuk lebih memahami isu Fadak, saya bawakan hadis yang menjadi topik dalam isu ini.

أن فاطمة والعباس عليهما السلام أتيا أبا بكر يلتمسان ميراثهما من رسول الله صلى الله عليه و سلم وهما حينئذ يطلبان أرضيهما من فدك وسهمهما من خيبر فقال لهما أبو بكر سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول (لا نورث ما تركنا صدقة إنما يأكل آل محمد من هذا المال) . قال أبو بكر والله لا أدع أمرا رأيت رسول الله صلى الله عليه و سلم يصنعه فيه إلا صنعته قال فهجرته فاطمة فلم تكلمه حتى ماتت

Maksudnya: Fatimah dan Abbas a.s datang kepada Abu Bakar menuntut pusaka mereka daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Mereka berdua menuntut tanah-tanah mereka di Fadak dan bahagian mereka di Khaibar.
Lalu Abu Bakar berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Kami tidak diwarisi. Apa yang kami tinggalkan adalah sedekah. Sesungguhnya keluarga Muhammad mengecapi rezeki daripada harta ini”.
Kata Abu Bakar lagi: Demi Allah, aku tidak meninggalkan sesuatu perkara yang aku lihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lakukan pada harta ini, kecuali aku lakukan.
Lalu Fatimah meninggalkan beliau, dan tidak bercakap dengannya sehingga wafat.
(Sahih Bukhari no: 6346, dan Muslim no: 1759).

APA KATA SYIAH?

Hadis ini digunakan oleh Syiah untuk merendah-rendahkan martabat Abu Bakar as-Siddiq r.a. lantaran beliau tidak memberikan hak pusaka kepada Fatimah r.a. hingga menyebabkan Fatimah marah kepada Abu Bakar dan tidak menegurnya sehingga wafat.

Kemudian, dikaitkan pula kes ini dengan sabdaan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, “Fatimah adalah sebahagian daripada aku. Sesiapa membuatnya murka, maka nescaya dia membuatkan aku murka”. (Direkod oleh Bukhari no 3556, dan Muslim no; 2449).

Maka mengikut sifir Syiah dalam isu ini, Abu Bakar telah membuatkan Fatimah marah dalam kes Fadak. Sesiapa membuatkan Fatimah marah, maka dia telah membuatkan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam marah. Natijahnya, Abu Bakar dimurkai oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

JAWAPAN YANG MEMBUNGKAM SYIAH

1. Dalam kes ini, Syiah mendakwa Fatimah r.a. sepatutnya menerima tanah harta pusaka dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Sedangkan dalam mazhab Syiah sendiri, wanita tidak boleh mewarisi harta yang berbentuk ‘aqar (aset tetap seperti tanah, kebun, rumah) daripada simati lelaki.

Syiah menghikayatkan daripada kitab Ali r.a. “Sesungguhnya wanita-wanita tidak ada hak bagi mereka daripada aset tetap seorang lelaki jika dia meninggal dunia dan meninggalkan harta itu”. (Aqaid al-Syiah al-Itsnai Asyariyyah 162)

2. Rujukan-rujukan Syiah dalam membangkitkan isu Fadak ini didapati bercanggahan antara satu sama lain. Ada yang menyebut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah memberikan Fadak kepada Fatimah semasa hayatnya, dan ada yang mengatakan Fatimah menuntutnya atas nama harta pusaka.

Andaikata Fadak patut dimiliki oleh Fatimah secara pemberian semasa hayat, mana mungkin beliau akan menuntutnya pula sebagai pusaka.

3. Yang sahih dalam kes ini ialah Fatimah menuntut Fadak sebagai harta pusaka daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ia jelas dimaklumi melalui lafaz-lafaz hadis yang sahih.

Tetapi Abu Bakar tidak menunaikan tuntutan tersebut kerana beliau mendengar sabdaan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, “Kami (para nabi) tidak diwarisi. Apa yang kami tinggalkan adalah sedekah”.

Fatimah telah berijtihad dalam tuntutan beliau, dan menyangka pada awalnya beliau berhak terhadap tanah tersebut. Tetapi apabila Abu Bakar menjelaskan alasan dan hujahnya, Fatimah tidak membangkitkan lagi tuntutan itu.

Kata Ibn Hajar, “Sebab Fatimah marah biarpun Abu Bakar berhujah dengan hadis tersebut ialah kerana kefahaman Fatimah tentang hadis berbeza dengan kefahaman yang dipegang oleh Abu Bakar. Seolah-olah Fatimah memahami hadis ‘Kami tidak diwarisi’ bahawa terdapat pengkhususan daripada maksud umumnya. Beliau berpendapat faedah (hasil) daripada tanah dan aset tetap yang ditinggalkan baginda tidak menghalang untuk ia diwarisi. Manakala Abu Bakar berpegang kepada keumuman hadis itu”. (Fathul Bari 6/202)

4. Kedua-dua mereka berijtihad, dan berbeza pendapat. Tetapi tidak ada keraguan dalam kes ini bahawa kebenaran berpihak kepada Abu Bakar. Kerana Sunnah dan ijmak menunjukkan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidak diwarisi.

Kata Ibn Taimiyyah, “Fakta bahawa Nabi tidak diwarisi sabit dengan Sunnah yang mencapai kata putus, dan ijmak para sahabat. Kedua-dua hujah ini adalah dalil qath’ie”. (Minhaj al-Sunnah 4/220)

5. Sebahagian Ahli Bait dari kalangan zuriat Fatimah sendiri menyokong ijtihad Abu Bakar dalam isu Fadak.

Berkata Zaid bin Ali bin Husain bin Ali, “Adapun aku, kalau aku berada di tempat Abu Bakar r.a, nescaya aku akan putuskan hukum sebagaimana diputuskan oleh Abu Bakar pada Fadak”.
Direkod dalam Sunan Baihaqi (no: 12524).

6. Seluruh imam-imam Ahli Bait termasuk Ali r.a. bersepakat bahawa tanah Fadak tidak diwarisi dan menyetujui ijtihad Abu Bakar.

Kata Al-Qurtubi, “Sesungguhnya apabila Ali menjadi khalifah, beliau tidak mengubahnya daripada apa yang dilaksanakan pada zaman Abu Bakar, Umar dan Utsman. Beliau juga tidak bertindak untuk memiliki tanah itu, dan tidak membahagikan sesuatu pun daripadanya. Malah, beliau menyalurkan hasilnya sebagaimana disalurkan oleh khalifah pada zaman sebelumnya.

Kemudian, ia dijaga oleh Hasan bin Ali. Kemudian diikuti oleh Husain bin Ali, kemudian Ali bin Hasan, kemudian Husain bin Hasan, kemudian Zain bin Husain, kemudian Abdullah bin Husain. Kemudian dipegang oleh Bani al-Abbas sebagaimana disebut oleh Abu Bakar al-Burqani dalam Sahihnya.

Mereka itu adalah tokoh-tokoh utama Ahli Bait. Merekalah yang menjadi rujukan Syiah dan imam-imam mereka. Tidak dihikayatkan dari seorang pun bahawa ada yang memilikinya, mewariskannya dan mewarisinya kepada orang lain. Kalau apa yang dikatakan oleh Syiah adalah benar, sudah pasti Ali atau salah seorang Ahli Bait akan mengambilnya”. (Al-Mufhim)

7. Berkenaan hadis bahawa sesiapa menyebabkan Fatimah marah, nescaya dia menyebabkan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam marah. Hadis ini berkenaan dengan perbuatan menyebabkan Fatimah marah dalam perkara yang hak. Adapun dalam perkara yang bukan hak, ia tidak termasuk. Kerana kita ketahui bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tidak pernah marah kerana kepentingan peribadi. Marah baginda hanya apabila hak-hak Tuhan dicabar.

8. Hadis tentang marahnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dengan sebab marahnya Fatimah, punca sabdaan baginda ialah kes Ali berhajat untuk menikahi anak perempuan Abu Jahal.

Di dalam hadis sahih, Ali meminang anak Abu Jahal. Lalu Fatimah mendengarnya lantas menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Beliau berkata, “Kaum engkau mendakwa bahawa engkau tidak marah demi anak-anak perempuanmu. Ini dia Ali hendak menikahi anak perempuan Abu Jahal”. Lalu baginda pun bangun dan mengucapkan hadis tersebut.
(Direkod oleh Bukhari no: 3523).

Walaupun sabdaan baginda dibaca secara umum, iaitu siapa yang membuatkan Fatimah marah maka dia membuatkan Nabi marah, tetapi kes asalnya ialah kes Ali yang menyebabkan Fatimah marah.

Kalau hadis ini difahami dengan cara Syiah faham iaitu setiap kes yang menyebabkan Fatimah marah, maka Nabi Sallallahu Alahi Wasallam akan marah, maka orang pertama yang sepatutnya mendapat kemurkaan baginda ialah Ali sendiri.

Kalau Syiah berpendapat bahawa Ali tidak termasuk dalam kalangan orang yang dimurkai Nabi, maka Abu Bakar lebih aula dan utama untuk tidak termasuk kalangan orang yang dimurkai Nabi. Apatah lagi dalam kes yang kebenarannya berpihak kepada Abu Bakar.

9. Fatimah sendiri telah rujuk daripada tuntutannya terhadap tanah Fadak.

Kata al-Qurtubi, “Manakala tuntutan Fatimah kepada Abu Bakar terhadap pusakanya daripada ayahandanya, ia berlaku sebelum beliau mendengar hadis yang menunjukkan pengkhususan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam (bahawa baginda tidak diwarisi). Beliau mulanya berpegang dengan apa yang tersebut dalam Kitabullah. Apabila Abu Bakar memberitahunya tentang hadis, beliau telah berhenti daripada tuntutan itu dan tidak mengulanginya”. (Al-Mufhim 3/563).

Kata Ibn Katsir, “Kami telah riwayatkan bahawa Fatimah telah berhujah pada mulanya dengan qiyas, dan umum ayat Quran. Lalu Abu Bakar al-Siddiq menjawabnya dengan nas yang mengkhususkan bahawa ada larangan mewarisi daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Dan beliau telah menerima apa yang dikatakan oleh Abu Bakar”. (Al-Bidayah wa An-Nihayah 5/252)

10. Walaupun disebut dalam hadis, bahawa Fatimah marah kepada Abu Bakar ketika kes tersebut, tetapi beliau kembali redha kepada Abu Bakar. Malahan beliau telah wafat dalam keadaan redha kepada Abu Bakar.

Di dalam Sunan Baihaqi, daripada al-Syaabi: Ketika Fatimah sakit, Abu Bakar al-Siddiq datang untuk melawatnya. Abu Bakar meminta izin untuk masuk melawatnya.
Ali berkata, “Wahai Fatimah, ini dia Abu Bakar datang meminta izin untuk melawatmu”.
Fatimah berkata, “Adakah kamu suka bahawa aku memberi keizinan untuk dia masuk?”.
Ali berkata, “Ya”.
Lalu Fatimah memberi izin Abu Bakar masuk. Abu Bakar pun masuk dan memohon keredhaannya, dan berkata, “Demi Allah, aku tidak meninggalkan rumah, harta benda, keluarga dan kaum kerabat, kecuali untuk mendapatkan keredhaan Allah, keredhaan RasulNya, dan keredhaan kamu Ahli Bait”.
Kemudian Abu Bakar memohon keredhaan Fatimah sehingga dia meredhai.
(Sunan Baihaqi no: 12515).

Kata Baihaqi: “Ini adalah mursal yang baik, dengan sanad yang sahih”.

Kata Ibn Katsir: “Ini adalah sanad yang baik dan kuat. Zahirnya, ‘Amir al-Syaabi mendengarnya daripada Ali atau daripada orang yang mendengarnya daripada Ali”. (Al-Bidayah wa An-Nihayah 5/253).

Kata Ibn Hajar pula, “Walaupun hadis ini mursal, tetapi sanadnya hingga kepada Al-Syaabi adalah sahih”. (Fathul Bari 6/202).

PENUTUP

Perselisihan antara Abu Bakar dan Fatimah hanya satu perselisihan feqah seperti mujtahid-mujtahid lain dalam pelbagai masalah. Masing-masing berijtihad, dan dalam masa yang sama saling hormat menghormati antara satu sama lain. Jadi, tidak ada keperluan untuk Syiah-syiah Melayu membangkitkan isu ini. Ia sudah selesai berkurun lamanya.

Wallahu A’lam.

Hari Ini: 13 | Jumlah Pelawat: 69577