Tasawuf Di Bawah Lembayung Hindu Dan Farsi

Share

Oleh: Muhammad Asrie Bin Sobri 

Ibrahim bin Adham telah mengambil akidah ini dan berkata:

من تعوّد أفخاذ النساء لم يفلح

Maksudnya: “Sesiapa yang selalu bermain dengan peha wanita (hubungan seks dengan isteri) dia tidak akan berjaya” [Qutul Qulub, Abu Tolib al-Makki, 2/210]

Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang meletakkan Seks antara suami isteri sebagai Ibadah sepertimana dalam hadis:

عَنْ أَبِى ذَرٍّ أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالُوا لِلنَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالأُجُورِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّى وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ « أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ ».

Maksudnya: Daripada Abu Zarr r.a bahawa sekumpulan manusia daripada Sahabat-sahabat Nabi s.a.w berkata kepada Nabi s.a.w: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya memperoleh pahala yang lebih kerana mereka bersolat seperti kami bersolat, berpuasa seperti kami berpuasa, dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka”. Kata Rasulullah s.a.w: “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu bahagian untuk kamu bersedekah, sesungguhnya setiap tasbih yang kamu sebut adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran adalah sedekah, dan pada kemaluan kamu juga sedekah”. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, adakah kami mendatangi syahwat kami lalu kami diberi pahala?” Jawab Rasulullah s.a.w: “Bukankah jika kamu meletakkan kemaluan kamu di tempat yang haram (berzina) adakah kamu berdosa maka demikian juga jika kamu meletakkannya di tempat yang halal bagi kamu pahala”. [Muslim & Ahmad].

Para Fuqaha Islam sangat menitik beratkan berkaitan hubungan seks suami isteri ini sehingga ada di antara mereka yang berpandangan wajib suami isteri itu melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya sekali selepas setiap kali si Isteri suci daripada haid.

Allah Taala telah meletakkan hubungan jenis antara suami isteri sebagai lambang dan tanda kekuasaanNya sebagaimana dalam surah al-Rum ayat 21:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Saidina Ibn Abbas r.a, al-Hasan r.a, dan Mujahid r.h mentafsirkan makna al-Mawaddah dalam ayat ini sebagai Jimak (Seks) dan al-Rahmah seabagai anak-anak. Demikianlah Islam memandang tinggi hubungan mesra suami isteri ini namun ajaran Tasawuf yang sangat membenci Islam itu telah menghina ibadah yang sangat mulia ini.

Abu Nasr al-Siraj al-Tusi dalam kitabnya al-Luma’ meriwayatkan bahawa Abu Ahmad al-Qalanisi berkahwin selama 30 tahun tidak menyentuh isterinya. [al-Luma’ fi al-Tasawuf, 199].

Abu Sulaiman al-Darani menyatakan: “Tiga perkara yang jika seseorang lakukan maka dia telah cenderung kepada dunia: Mencari rezeki, berkahwin, dan menulis hadis”. [Ihya’ Uludmuddin, 1/379].

Pernyataan ini menunjukkan bahawa kaum sufi juga membenci untuk menuntut ilmu hadis dan ini merupakan sesuatu yang sangat bahaya.

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat pernyataan daripada kaum sufi ini yang menunjukkan mereka menggalakkan perkahwinan seperti kata al-Junaid al-Baghdadi: “Aku memerlukan Jimak seperti aku memerlukan makan”. [Qutul Qulub, 2/221].

Perumpamaan al-Junaid ini perlu difahami pula pandangan beliau berkenaan makan itu sendiri. Kaum Sufi itu adalah kaum yang kurang makan dan mereka suka berlapar. Al-Junaid berkata: “Tidak lah kami ambil Tasawuf ini daripada perkataan itu dan ini tetapi kami mengambilnya daripada berlapar, meninggalkan dunia, dan meninggalkan kebiasaan manusia”. [Siyar A’lam al-Nubalaa, 14/69].

Demikian juga sebahagian mereka melarang perkahwinan kepada para murid yang berada di peringkat mubtadi (permulaan) dan dibenarkan berkahwin setelah itu. Ini adalah akidah Hindu yang 100% tanpa syak lagi sebagaimana yang kami terangkan sebelum ini.

Abu Sulaiman al-Darani juga berkata: “Aku tidak melihat seorang pun daripada kaum kami yang berkahwin lalu dia terus kekal dalam martabatnya yang pertama”. [Ihya’ Ulumuddin, 1/379].

Demikian juga kaum Sufi mempunyai ritual yang dikatakan sebagai ‘Berlapar’. Ritual berlapar ini dikenakan kepada setiap murid mubtadi dan ini jelas daripada akidah Hindu berdasarkan kenyataan dalam Kitab Manu, Bab ke-2, 177-182: “Diharamkan kepada murid meminum arak, memakan daging, memakai wangian, mendekati wanita...” [Dirasat fil Yahudiah wal Masihiah wa Adyan al-Hind, 584].

Abu Tolib al-Makki menyatakan terdapat empat perkara yang dapat membantu murid melaksanakan pembersihan hati iaitu: Berlpar, berjaga malam, berdiam diri (tidak bercakap), dan bersunyian diri (Khalwat/Uzlah). [Qutul Qulub, 1/132]. Abu Talib juga menyatakan susunan makanan bagi seorang murid: “Sesiapa yang hendak mengikut jalan ini maka hendaklah dia mengurangkan setiap kali makan ¼ roti kepada 1/7 maka dengan itu dia tidak makan sebiji roti penuh selama sebulan secara beransur-ansur”. [Qutul Qulub, 2/109].

Ukuran tahap lapar seseorang pula menurut Abu Tolib adalah jika menurut waktu dapat diukur dalam masa 24 jam ke 72 jam. Dapat juga diukur jika kamu dapat makan roti tanpa kuah (kerana terlalu lapar) atau sehingga kamu sangat berkehendak kepada roti sehingga semua benda kelihatan seperti roti kepada kamu. Makan sehingga kenyang pula menurut sebagian Ulama Tasawuf adalah fasiq sehingga ada orang Sufi yang diberitahu anaknya makan sehingga kekenyangan lalu dia berkata: Jika anakku mati dalam keadaan itu aku tidak akan mensolatkan jenazahnya. Adapun berpuasa pula menurut mereka bukanlah jalan penyelesaian terhadap usaha membersihkan jiwa kerana seseorang itu akan bersyahwat semual ketika berbuka. [Qutul Qulub, 2/109].

Kaum Sufi juga ada yang diriwayatkan berlapar selama berhari-hari bahkan berbulan-bulan dan apabila mereka makan, mereka makan sesuatu yang bukan makanan seperti jerami gandum sebagaimana yang diriwayatkan daripada Sahl dan Zun Nun al-Msiri. [Akidah & Suluk dalam Tasawuf, 387].

Demikian juga mereka enggan memakan daging sebagaimana Imam Ibn al-Jauzi r.h menyatakan bahawa kaum Sufi berkata: “Makan daging sebanyak satu dirham itu mengeraskan hati selama 40 hari”. Ada antara mereka yang hanya minum air sejuk, ada pula yang hanya minum air panas, dan Abu Yazid al-Bustami pula tidak memakan makanan manusia biasa selama 40 tahun. [Talbis Iblis, m.s 259].

Amalan berlapar ini amat jelas diambil daripada agama Hindu (Adyan al-Hindi al-Kubra) kerana semua ajaran Hindu sama ada Brahman, Buddha, dan Jiniah meletakkan berlapar sebagai jalan mencapai kesucian jiwa.
Akidah Hindu meletakkan bahawa berpuasa dalam mafhum agama hindu adalah berlapar dengan tidak makan selama beberapa hari atau hanya makan makanan tertentu tanpa jenis yang lain atau makan hanya pada satu waktu sahaja dalam sehari seperti malam sahaja atau tengah hari sahaja dan seumpamanya tidak saling tumpah seperti ritual berlapar Sufi yang kami jelaskan. [Dirasat fil Yahudiah wal Masihiah wa Adyanil Hind, 604].

Cukuplah dalil bahawa amalan ini bukan daripada Islam hadis yang sahih dikeluarkan Imam al-Bukhari, Muslim, dan lainnya yang telah kami sebutkan di atas dan akan kami ulang sekali lagi kerana pentingnya, daripada Saidina Anas bin Malik r.a kata beliau:

جاء ثلاث رهط إلى بيوت أزواج النبي صلى الله عليه و سلم يسألون عن عبادة النبي صلى الله عليه و سلم فلما أخبروا كأنهم تقالوها فقالوا أين نحن من النبي صلى الله عليه و سلم ؟ قد غفر الله له ما تقدم من ذنبه وما تأخر قال أحدهم أما أنا فإني أصلي الليل أبدا وقال آخر أنا أصوم الدهر ولا أفطر وقال آخر أنا أعتزل النساء فلا أتزوج أبدا فجاء رسول الله صلى الله عليه و سلم فقال ( أنتم الذين قلتم كذا وكذا ؟ أما والله أتي لأخشاكم لله وأتقاكم له لكني أصوم وأفطر وأصلي وأرقد وأتزوج النساء فمن رغب عن سنتي فليس مني

Maksudnya: “Telah datang 3 orang Sahabat ke rumah Isteri Nabi s.a.w bertanya berkenaan ibadah Nabi s.a.w namun setelah diceritakan kepada mereka, mereka seolah-olah berasa terlalu sedikit lalu berkata: ‘Di manakah kedudukan kita jika hendak dibandingkan dengan Nabi s.a.w? Allah telah ampunkan dosa baginda yang lalu dan akan datang’. Berkata salah seorang mereka: ‘Adapun aku, akan sentiasa bersolat malam selama-lamanya’. Berkata seorang lagi: ‘Aku akan berpuasa dan tidak akan berbuka’, dan berkata seorang lagi: ‘Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin’. Lalu datanglah Rasulullah s.a.w lalu bersabda: “Kamu kah yang berkata demikian dan demikian? Adapun demi Allah, sesungguhnya aku adalah yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa dalam kalangan kamu tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, dan aku berkahwin, maka sesiapa yang enggan mengikut sunnahku maka dia bukan daripada (umat) ku”.

Hadis ini merupakan kata pemutus bahawa ibadat kaum Sufi adalah ibadat yang bidaah dan tidak ada bidaah hasanah dalam agama Islam yang mulia ini. Jelas sekali bahawa Nabi s.a.w tidak merestui tindakan sahabat-sahabat baginda memilih jalan hidup ‘Tasawwuf’ ini kerana yang baginda ajar adalah Zuhud (beserdehana) bukan Tasawwuf (melampau dalam beribadat).

Kemuncak persamaan Tasawuf dan Agama Hindu adalah akidah al-Fana’ atau lebur yang sama sekali dengan akidah Hindu, Nirvana. Semua rahib, pendeta, dan sami Hindu berjuang untuk menuju Nirvana di mana mereka akan bersatu dengan Tuhan.

Nirvana menurut ajaran Buddha adalah pembebasan diri daripada belenggu-belenggu kesusahan hidup dan mencapai kebersihan ruh, melepaskan diri daripada belenggu ubudiah dan kelazatan dan terpancarnya cahaya makrifat melalaui penyeksaan diri, melawan kehendak nafsu, disamping berusaha memberikan tumpuan dan fokus jiwa. [al-Mausuah al-Muyassarah lil Adyan wal Mazahib wal Ahzab al-Muasarah].

Al-Fana pula daripada segi takrif akhlaknya seperti mana kata al-Qusyairi: ‘Gugurnya sifat-sifat tercela’ dan mencapai al-Baqa’ iaitu bersifat dengan sifat-sifat terpuji. Jalan untuk mencapai al-Fana’ sebagaimana kita jelaskan tadi adalah berlapar, diam, uzlah, dan sebagainya daripada bentuk penyeksaan diri. Maka tidak lari sama sekali konsep Nirvana dalam agama Buddha dengan al-Fana dalam Tasawuf. [al-Risalah al-Qusyairiah, 1/36].

Adapun konsep al-Fana’ yang lebih mendalam sama sekali dengan konsep Nirvana dalam ajaran Hindu Brahma iaitu: “Selamatnya ruh daripada bertanasukh dan kembali bersatu dengan asalnya yakni Tuhan (Brahma)”. [Dirasat fil Yahudiah wal Masihiah wa Adyanil Hind, 630].

Adapun dalam akidah Sufi, al-Fana’ adalah: Tenggelam atau hilangnya perasaan wujud daripada diri seorang Sufi sehingga dia tidak sedar lagi akan kewujudannya dan hanya yang dia nampak dan rasa adalah Wujud Allah semata-mata. Ketika Fana ini, Allah akan menjelam (Tajalli) kepada si Sufi tadi sehingga dia tenggelam daripada perasaan dunia dan akhirat dan Fana ini boleh berlaku pada perbuatan sehingga dia tidak melihat ada pelaku atau pembuat kecuali Allah [Akidah Jabariah], Fana daripada Sifat sehingga dia melihat tidak ada yang mendengar, melihat, berkata-kata, dan berkuasa kecuali Allah, Fana daripada Zat sehingga dia tidak merasakan di sana ada zat kecuali zat Allah. [Rujuk: al-Risalah al-Qusyairiah, 1/36, Ma’arij al-Tasyawwuf , Ibn Ajibah, m.s 59, Ihya’ Ulumuddin, al-Ghazali, 3/337].

Mereka yang mengalami Fana ini akan mengucapkan kalimah-kalimah yang pada kaum zahir adalah kufur tetapi kepada kaum batin (Sufi) adalah Iman dan Tauhid seperti perkataan Abu Yazid al-Bustami: “Maha Suci Aku! Maha Agung Aku!” “Aku adalah Lauh Mahfuz!” dan seumpamanya. [Talbis Iblis, 417-418].

Al-Junaid al-Baghdadi ketika ditanya berkenaan ucapan Abu Yazid ini dia lantas menerangkan makna al-Fana’: “Sesungguhnya seseorang itu terbinasa dalam keadaan dia melihat al-Jalal (Allah), maka dia bercakap dengan apa yang membinasakannya, al-Haq (Allah) telah melalaikannya dengan penglihatnnya kepadaNya maka dia tidak melihat kecuali al-Haq maka dia menyifatkanNya”. Kata Imam al-Jauzi: Ini adalah (akidah) Khurafat. [Talbis Iblis, 417].

Hasil ucapan al-Junaid yang digelar Sayyid al-Taifah (Penghulu Kaum Sufi) menjelaskan bahawa semua orang sufi mempercayai akidah al-Fana tetapi kebanyakan mereka menyembunyikan akidah ini dan mencela mereka yang menzahirkannya. Hal ini kita akan bicarakan dalam tajuknya yang tersendiri insya-Allah.
Akidah al-Fana’ ini membawa kepada akidah kaum Sufi boleh melihat Allah Taala dalam keadaan sedar, bukan sekadar melihat Tajalli Jamal Allah dalam mimpi bahkan melihat juga dalam sedar. Ini adalah akidah batil kerana ketika Allah Taala mentajalli cahayaNya kepada bukit, berkecai bukit itu dan Nabi Musa a.s, salah seorang Rasul Ulul Azmi, pengsan dan tidak dapat melihat Allah, maka bagaimana si Sufi yang miskin akidah ini dapat melihat Allah?! [Rujuk perbahasan mengenai melihat Allah Taala di: http://mashoori.wordpress.com ]
Maka secara ringkasnya akidah Fana ini membawa kepada akidah Ittihad yakni bersatunya jiwa makhluk yang suci dengan zat Tuhan yang Maha Luhur setelah jiwa manusia ini melalui proses pembersihan yang pelbagai. Demikianlah jelas sekali pengaruh akidah Buddah dan Brahman terhadap ajaran Tasawuf ini. Wallahua’lam.

Hari Ini: 13 | Jumlah Pelawat: 69577