KENYATAAN RASMI PRESIDEN IQ (1)

Share
Saya selaku Presiden IQ yang telah bersama-sama dengan al-Fadhil Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin membangunkan Institut al-Qayyim (dulu dikenali sebagai Dewan Pengajian al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah) sejak awal penubuhannya lebih 10 tahun yang lalu dengan ini mewakili seluruh warga dan penyokong IQ menegaskan bahawa kami:

 

i- Menyokong dan mendokong penuh perjuangan yang dibawa oleh Dr. Mohd. Asri dalam mengembalikan umat kepada penghayatan Islam yang sebenar mengikut manhaj as-salaf as-soleh.
ii- Menyokong dan mendokong sepenuhnya perjuangan beliau membersihkan pemikiran umat Islam khususnya di Malaysia daripada kekarutan pemikiran kononnya atas nama Islam yang telah sekian lama menghodohkan wajah Islam dan pengamalannya di mata masyarakat.

Oleh itu, kami sangat dukacita dan kecewa dengan tudahan palsu dan fitnah yang dilemparkan oleh segelintir manusia yang menggunakan nama beberapa NGO muslim melalui memorandum bantahan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong berhubung isu perlantikan Dr. Mohd. Asri sebagai YDP YADIM.

Tuduhan yang tiada asas intelek, kewarasan akal mahupun kemurnian iman itu ternyata penuh dengan fakta-fakta palsu, dakwaan jahat, tidak bertanggungjawab dan seperti sengaja mengundang perpecahan umat.

Pihak Persatuan Peguam Syarie (PGSM) yang telah secara jelas menandatangani memorandum tersebut seterusnya menyiarkannya secara separuh berani (kerana kemudian, secara tiba-tiba ia dipadamkan dari laman web mereka) sepatutnya bertindak sesuai dengan profesyen mereka. Bukankah antara tugas utama peguam itu mencari bukti dan hujah??! Tapi kenapa mereka gagal melaksanakannya dalam hal ini? Tuduhan yang sembrono itu tidak layak dikeluarkan oleh mana-mana manusia beriman dan berakal. Tidakkah ini hanya membuktikan bahawa mereka ini adalah segolongan manusia yang rendah akhlak dan bermentaliti primitif? Adakah sikap dan mentaliti ini yang menyebabkan banyak kes-kes kekeluargaan Islam tertangguh di mahkamah syariah?

Pihak IQ juga kesal dengan sikap lewa kepimpinan sebahagian NGO yang terbabit yang membenarkan nama NGO mereka digunakan untuk tujuan jahat sedangkan mereka mendakwa tidak tahu menahu tentang isi kandungan memorandum itu. Jika ia bagai dikata, pihak terbabit perlu tampil membersihkan nama pertubuhan masing-masing dari dikotori oleh agenda jahat ini.

Dengan ini, saya selaku Presiden IQ menggesa secara khusus beberapa NGO muslim peringkat Pulau Pinang yang selama ini mempunyai beberapa kerjasama dengan IQ menyatakan pendirian mereka dalam isu ini. Diharap teman-teman kepimpinan PUM, ABIM dan JIM Pulau Pinang bersedia menyatakan pendirian rasmi masing-masing. Insya Allah suatu mesyuarat peringkat jawatankuasa IQ akan menghalusi perkara ini dan menilai kembali bentuk hubungan dan kerjasama dengan pihak-pihak terbabit.

Sekian terima kasih.

Abd Rasyid bin Idris
Presiden Institut Al-Qayyim

 

Hari Ini: 17 | Jumlah Pelawat: 70192