Kenyataan Presiden IQ

Share
Assalamualaikum.

Saya ingin merujuk kepada berita di dalam Malaysiakini bertajuk: 2.5 juta jemaah haji wukuf di Arafah yang diambil daripada agensi berita Bernama.  Terdapat sedikit salah fakta yang perlu diperbetulkan agar tidak mengundang salahfaham khususnya orang-orang yang tidak mendalami ajaran Islam.

Pertama: "Jemaah perlu berada di Arafah paling lewat tengah hari ini (Zohor)..."
Penjelasan:
Ibadah wukuf yang merupakan salah satu rukun haji dilaksanakan di Arafah adalah bermula dari gelincir matahari dan berakhir sebaik terbenamnya matahari. Jemaah tidak disyaratkan untuk berada di sana paling lewat waktu zohor seperti yang diberitakan. Jemaah haji boleh berada di sana pada bila-bila masa sahaja dalam tempoh yang ditetapkan itu. Mensyaratkan kehadiran di Padang Arafah selewat-lewatnya waktu zohor akan menimbulkan kesukaran kepada banyak pihak dan tiada asasnya dalam nas-nas syarak.

Kedua: "...berangkat ke Mudzalifah selepas waktu Maghrib untuk mengutip batu-batu kecil bagi tujuan melontar jamrat di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah."
Penjelasan:
Amalan berangkat ke Muzdalifah selepas terbenam matahari 9 zulhijjah adalah diwajibkan dalam manasik haji. Menjadi sunnah rasulullah SAW untuk keluar dari Arafah selepas terbenam matahari ke Muzdalifah, solat maghrib dan isyak secara jamak dan qasar seterusnya bermalam hingga solat subuh di sana. Tidak terdapat dalam mana-mana nas syarak mahupun perkataan sarjana Islam yang muktabar tentang amalan mengutip batu di Muzdalifah bagi tujuan melontar jamrah di Mina. Ini adalah kesalahan fakta yang telah sekian lama terhidang kepada masyarakat awam di negara ini. Tujuan ke Muzdalifah adalah untuk bermalam di sana dan hukumnya wajib. Menurut sebahagian sarjana, memadai dengan sekadar melaluinya pada waktu malam tanpa duduk bermalam di sana. Batu-batu yang ingin digunakan bagi tujuan melontar jamrah itu pula boleh diambil di mana-mana sahaja termasuk di Mina.

Diharapkan penjelasan ini dapat membetulkan sedikit salah faham yang mungkin timbul dari petikan tersebut.  

 

Hari Ini: 17 | Jumlah Pelawat: 70192