Kenyataan Rasmi berhubung isu Wardina dan Ustaz Don

Share

abuhafiz

Mewakili Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia (IQ), beberapa pendirian ingin ditegaskan:

1- Tindakan Puan Wardina Safiyyah menegur atau bertanyakan beberapa persoalan berkaitan ceramah Ust Don Daniyal bukanlah satu tindakan biadap. Ia adalah manifestasi semangat disiplin ilmu Islam yang mana sesiapa sahaja dibenarkan mengisi ruang pertanyaan dan perbincangan yang sihat di dalam Islam. 
Tambahan itu, Puan Wardina Safiyyah dengan jelas dalam kenyataannya bertanya dengan maksud mendapatkan kepastian terhadap persoalan beliau dan itu tidak sepatutnya dianggap tidak beradab.

2- Tuduhan sesetengah pihak yang cuba mengaitkan rujukan Puan Wardina sebagai radikal adalah cubaan yang amat berbahaya dan tidak akademik. 
Sekiranya persoalan yang ditimbulkan punyai jawapan secara akademik, pihak terbabit tidak perlu membuat sangkaan jahat dan buruk. Ia amat memalukan. 
Kami menegaskan supaya mana-mana pihak tidak menggunakan prinsip: 'habis hujah digunakan fitnah'.

3- Seperkara yang begitu menyedihkan ialah perbincangan yang berkisar mengenai kandungan ceramah agama Ust Don Daniyal telah diubah fokus secara tidak berdisiplin dengan mempersoalkan latar belakang dan sejarah silam Puan Wardina. 
Persoalan ilmiah seharusnya dijawab dengan nilai ilmiah bukan dicemari serangan dan cemuhan peribadi. 

4- Perbincangan ilmiah dan kebebasan memberikan pendapat adalah prinsip yang perlu diangkat dalam masyarakat. Adalah tidak wajar untuk melabel sesiapa yang mempunyai pandangan berbeza sebagai pemecah belah masyarakat dan berbagai gelaran yang tidak sepatutnya. 

5- Sekatan terhadap hak bertanya sebegini dibimbangi akan menatijahkan kesan yang buruk iaitu sesiapa sahaja bebas bercakap tentang urusan agama tanpa perlu membawa bukti hujah al-Quran dan al-Sunnah yang thabit dan tidak boleh dipersoalkan.
Ini kerana pengamalan agama perlu didasari dengan keyakinan yang kukuh bersandarkan dua sumber utama tersebut. Pertanyaan dan meminta penjelasan adalah cara bagi mendapatkan keyakinan itu.

Sekian. Terima kasih.

Abu Hafiz Salleh Hudin
Ketua Pemuda,
Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia (IQ)

Hari Ini: 16 | Jumlah Pelawat: 70191