Gelandangan Kuala Lumpur, apa penyelesaiannya?

Share

homeless

Biro Pemuda, Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia (IQ) terpanggil untuk memberikan pandangan diatas polemik pengagihan makanan kepada golongan tidak berumah (homeless) yang dilakukan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur.

Berpandukan beberapa siri laporan media, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor memberikan arahan agar pengagihan makanan percuma kepada golongan gelandangan dan homeless dihentikan atau berdepan dengan tindakan undang-undang mulai Isnin ini.

Oleh yang demikian, Biro Pemuda IQ ingin menegaskan beberapa perkara serta cadangan seperti berikut:

  1. Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL seharusnya menjemput NGOs yang terlibat dalam pengagihan makanan percuma kepada kelompok sasaran mereka dan berbincang dengan baik sebelum menentukan sebarang hukuman atau tindakan.
  2. Menurut kenyataan media yang dilaporkan, antara NGO yang mengadakan pengagihan makanan percuma tersebut seperti Kolektif Dapur Jalanan Kuala Lumpur hanya mengadakan pengagihan tersebut pada setiap malam sabtu jam 10 malam. Juga terdapat beberapa NGO lain yang turut menganjurkan perkara yang sama seperti Soup Kitchen. Pihak Biro Pemuda IQ tidak melihat bahawa penganjuran pengagihan makanan secara percuma ditengah bandar Kuala Lumpur sebagai satu pencemaran sekiranya wujud garis panduan yang perlu dipatuhi oleh penganjur dengan bantuan pihak DBKL sendiri. Ia adalah seperti golongan gelandangan yang makan dan minum hanya dibenarkan makan dan minum dikawasan yang disediakan bagi mengawal kebersihan kawasan ibu kota. 
  3. Biro Pemuda IQ merasakan bahawa pengagihan makanan percuma kepada golongan yang susah pada hakikatnya akan menaikkan imej Kuala Lumpur dan Malaysia yang tidak sahaja dikenali sebagai pusat hiburan terkenal dan membeli belah, tetapi masih mengekalkan nilai murni dalam membela masyarakat yang terpinggir dari arus pembangunan dan kemajuan negara.
  4. Kegagalan pihak DBKL dan Kementerian melibatkan secara langsung pihak NGOs yang terlibat didalam isu ini akan hanya memburukkan imej kerajaan sendiri. Disamping itu, bulan Ramadhan adalah sebuah bulan yang amat dituntut melakukan kebaikan dan memberi orang makan/berbuka puasa selaras dengan sunnah baginda Nabi Muhammad SAW.
  5. Biro Pemuda IQ tidak menolak sepenuhnya cadangan pengagihan makanan itu dilakukan diluar radius 2 KM dari pusat membeli belah LOT 10. Namun, sebarang tindakan atau undang-undang seharusnya melibatkan pihak NGOs yang terlibat kerana mereka bukan pelaku jenayah tetapi ingin melakukan perkara yang diakui amat mulia dengan hasrat murni.
  6. Sekiranya pihak DBKL dan Kementerian tidak memberikan ruang perbincangan yang harmoni dan proaktif, Biro Pemuda IQ merasakan ia sama sekali bercanggah dengan program 1M4U yang ditubuhkan dengan semangat untuk membantu dan memupuk semangat sukarelawan belia ditambah aktivisme sosial di kalangan belia Malaysia. Kebanyakkan sukarelawan NGOs dalam pengagihan makanan kepada kelompok sasaran mereka adalah belia remaja dan program seperti sepatutnya digalakkan dan disokong oleh DBKL dan Kementerian kerana ia merupakan aspirasi YAB Perdana Menteri sendiri.
  7. Sekiranya isu kebersihan dan imej Kuala Lumpur menjadi permasalahan yang besar, Biro Pemuda IQ juga ingin mencadangkan agar kelab-kelab malam dan hiburan juga patut dipantau dan dihentikan kerana ia sama sekali mencemar imej Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia yang dipertahankan kerajaan sebagai NEGARA ISLAM baru-baru ini. Pihak DBKL dan Kementerian tidak seharusnya bersikap double standard dalam isu kelab malam dan hiburan tetapi bertegas terhadap aktiviti kebajikan NGO seperti isu yang sedang diperkatakan ini. Ini ditambah pula dengan kemuliaan bulan Ramadhan, maka pantauan lebih tegas seharusnya digerakkan.


Abu Hafiz bin Salleh Hudin
Ketua
Biro Pemuda
Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia (IQ)

Hari Ini: 2 | Jumlah Pelawat: 68194