Sokongan Terhadap Kenyataan Sahibus Samahah Tan Sri. Dr.Harussani di Sinar

Share

Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia (IQ Malaysia) melihat satu perkembangan yang baik mutakhir ini apabila kesedaran Islam telah meresapi ke semua peringkat dengan begitu pantas. Ini sejajar dengan minat orang-ramai terhadap ilmu dan peranan yang dimainkan oleh para pendakwah.                     

Kini para pendakwah dan penceramah tidak hanya terdiri dari kalangan ustaz tempatan yang mengajar di pondok-pondok, sekolah agama rakyat atau di ceruk kampung dan pekan kecil. Ramai juga dari kalangan mereka hari ini telah masuk ke media elektronik dan menjadi "ustaz atau ustazah selebriti"

IQ Malaysia menyambut baik dan menyokong apa jua usaha dari semua pihak di dalam membantu merancakkan perkembangan agama. IQ Malaysia berlapang dada dan menerima kepelbagaian di dalam cara atau method berdakwah.

Ada pendakwah dan penceramah yang menarik minat pendengar dengan cara berlawak, dengan bernyanyi, dengan membawa kisah-kisah motivasi dan sebagainya. Namun IQ Malaysia merasa bimbang apabila mendapati ada ustaz dan ustazah selebriti yang tidak teliti di dalam mengutip dalil dengan menyampai hadis dan riwayat palsu. Ini akan memberi kesan yang besar terhadap ketulenan Islam dan mengundang kekeliruan  masyarakat terhadap fakta yang benar dari al-quran dan al-hadis.

IQ Malaysia ingin melahirkan sokongan terhadap apa yang disuarakan oleh Sahibus Samahah Tan Sri Dr Harussani Zakaria tentang trend pendakwah seperti ini.

Ini sepertimana yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian bertarikh 13 Mac 2015 dengan memetik laporan: 

"Mufti Perak melahirkan kebimbangan tentang trend pendakwah dan penceramah pada masa kini yang dilihat lebih mempunyai perwatakan sebagai penglipur lara, selain ada di antara mereka menjatuhkan hukum tidak memenuhi syarak.

Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, trend tersebut mampu mengakibatkan kekeliruan dan kecelaruan dalam kalangan umat Islam dan terdapat pendengar seakan-akan menanti ‘bahan penglipur lara’ itu yang dibimbangkan tersasar daripada matlamat dakwah untuk meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH.
 
“Kita lihat hari ini seolah-olah sudah menjadi satu  keperluan kepada pendakwah apabila berdakwah atau berceramah, nyanyian dan alunan lagu-lagu semestinya dikumandangkan"
 
Sekian, IQ Malaysia sekali lagi ingin melahirkan sokongan terhadap kenyataan Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan mengharapkan para pendakwah dan penceramah lebih berhati-hati di dalam memetik fakta agar ketulenan Islam akan kekal terpelihara.
 
 
Haji Nazri Bin Said
Presiden
Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia
Hari Ini: 2 | Jumlah Pelawat: 68194